• Maximus Ongkili Maximus Ongkili
1 / 1
KUALA LUMPUR - Paras air di Empangan Klang Gate yang kini berada pada tahap 52 peratus daripada kapasiti maksimumnya mampu membekalkan air kepada pengguna untuk tempoh tiga bulan.       

Menteri Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi jika paras air di empangan itu mencecah paras kritikal.
  
"Jika cuaca panas berterusan maka langkah-langkah penjimatan perlu dilaksanakan. Semuanya bergantung kepada keadaan cuaca untuk dua minggu yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas melawat empangan itu di sini hari ini
  
Dalam lawatan itu, Ongkili mendengar taklimat mengenai empangan berkenaan yang disampaikan Pengarah Eksekutif Operasi dan Penyelenggaraan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Abd Rashid Abd Satar.
  
Menurut Abd Rashid, paras maksimum air di empangan itu ialah 95.2 meter dan paras air pada hari ini adalah 89.9 meter iaitu lima meter lagi sebelum mencecah paras kritikal 84 meter.
  
Dari segi peratusan pula paras air pada hari ini adalah pada 52 peratus berbanding 72 peratus pada awal tahun ini, katanya.
  
Jelas Abd Rashid, secara purata peratus penurunan air di Empangan Klang Gate ialah pada kadar 0.6 peratus sehari. - Bernama