• Peserta himpunan Turun 3.0 bukan Bughah Peserta Himpun Turun 3.0 berkumpul di Kompleks Pekan Rabu semalam.
1 / 1
ALOR SETAR - Peserta yang menyertai Himpunan Peduli Rakyat Bantah Kenaikan Kos Sara Hidup (Turun 3.0) di sini, hari ini didakwa bukan Bughah.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana penganjurannya berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

“Kami menyokong kerana ia himpunan yang aman dan bukan sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin Umno dan BN yang disebarkan sehingga dipergunakan mufti untuk mengeluarkan fatwa.

“Kita buktikan sekali lagi bahawa himpunan ini aman yang dijamin oleh perlembagaan atas dasar kebebasan berhimpun dan bersuara bagi menyatakan isi hati rakyat yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya selepas menyertainya di Kompleks Pekan Rabu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bergerak melalui beberapa platform untuk memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu semasa dan seriusnya kenaikan kos sara hidup.

Mengulas mengenai penganjuran himpunan itu, Mohd Khalil berkata, ia adalah sambungan himpunan yang diadakan di beberapa negeri sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, penganjuran itu bagi menimbulkan kesedaran rakyat agar tidak berdiam diri apabila berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita nak tunjuk bahawa perhimpunan hari ini (semalam) berlangsung seperti yang dinasihati polis. Alhamdulillah tiada provokasi,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Izzat Mohamad Shauki, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dan Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samad.