RM84,000 lesap setelah perompak pecahkan mesin ATM
05/02/2014 7:43pm
KOTA BHARU - Tiga lelaki melarikan wang tunai sebanyak RM84,000 selepas menarik keluar dengan tali sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas di sini hari ini.
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, suspek bertindak mengikat seutas tali pada mesin ATM itu, dengan hujungnya diikatkan pada sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk menarik mesin berkenaan.
"Mesin itu ditarik dalam jarak 10 meter sebelum seorang daripada suspek menggunakan kuku besi membuka mesin dan melarikan wang tunai dari mesin berkenaan," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian.
Menurut saksi kejadian, seorang suspek dilihat berada di dalam kereta pacuan empat roda berkenaan manakala dua lagi berada di luar.
"Saksi tidak berani untuk menghalang kerana mengesyaki penjenayah mempunyai senjata dan hanya memberitahu pihak kami selepas penjenayah meninggalkan tempat kejadian," katanya.
Katanya, gerakan memburu ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
"Kumpulan ini sangat profesional, mereka tidak mengambil masa yang lama dengan kelengkapan yang digunakan," katanya. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_28.htm#ixzz2sRooOZDw
Hakcipta terpelihara
0 orang berkata:
Post a Comment