Wednesday, February 5, 2014
Polis Cawangan Khas Mati Ditembak di Kepala
[HM] KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal
dipercayai dari Cawangan Khas Bukit Aman ditemui mati terbaring selepas
ditembak di kepala di tepi jalan di Jalan Negeri Sembilan, Bukit
Persekutuan di sini, sebentar tadi.
Difahamkan, kejadian disedari orang awam yang melalui jalan berkenaan
yang kemudian melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut, kira-kira
jam 4.30 petang.
Pemeriksaan lanjut menemui mangsa berusia 37 tahun terbaring berdekatan sebuah motosikal dengan dua kesan kecederaan di kepala.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner
Khairy Ahrasa ketika ditemui berkata, siasatan menyeluruh bagaimanapun
masih sedang dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, pihaknya turut menemui dua kelongsong peluru di sekitar
lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. -4/2/14
Berkaitan:
Anggota Cawangan Khas Ditemui Mati Ditembak
[Bernama] KUALA LUMPUR: Seorang anggota Cawangan Khas ditemui mati
dengan dua kesan tembakan di muka dan mata kanan dalam keadaan terbaring
di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini, Selasa.
Anggota berpangkat Lans Koperal berumur 37 tahun itu dipercayai ditembak
dari jarak dekat dengan mayatnya ditemui kira-kira 1.5 meter dari
sebuah motosikal.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa
berkata mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira
4.30 petang yang kemudian memaklumkannya ke Balai Polis Travers.
Ditemui pemberita di lokasi kejadian, beliau berkata polis turut menemui
dua kelongsong peluru berukuran 9mm berhampiran mangsa, sebuah
motosikal, sebuah topi keledar dan jaket.
Mangsa belum berkahwin.
"Kita masih menyiasat sama ada mangsa membawa senjata kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian," katanya.
Khairi berkata motif pembunuhan masih disiasat.
Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. 4/2/14
0 orang berkata:
Post a Comment