• Mohd Nor Hamzah  
  • Mohd Nor Hamzah
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak perlu menunggu lebih lama untuk melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) di Terengganu kerana ia sudah diwartakan dan mendapat perkenan Sultan.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, perlaksanaan hukum hudud tidak perlu ditangguhkan kerana ia adalah hukum yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan setiap pemimpin beragama Islam.

“Kenapa nak tunggu orang berjaya buat dulu, baru nak laksana. Mengenai aspek pembangunan negeri, tidak pula tunggu untuk lihat cara orang lain laksana dan tadbir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang bersedia melaksanakan hudud sekiranya Kelantan berjaya melaksanakan hukum berkenaan dengan sempurna.

Kata Mohd Nor lagi, kerajaan negeri diterajui BN kini mempunyai kelebihan tersendiri dalam melaksanakan hukum hudud.

“Tiada masalah untuk berusaha melaksanakan hukum hudud kerana mereka mendapat sokongan kerajaan Pusat.

“Tambahan pula dalam Umno sendiri, ada ulama yang boleh memberikan pandangan dan sebagai tempat rujukan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri bersedia untuk menimbang pelaksanaan hukum hudud di Terengganu sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan berjaya melaksanakan hukum berkenaan dengan sempurna.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, hudud bukanlah isu politik, sebaliknya sebelum melaksanakan hukum hudud, pelbagai aspek perlu diteliti kerana ia melibatkan hukum ALLAH SWT.

Menurut beliau, kerajaan negeri ingin melihat pendekatan diambil Kelantan dan akan mengkaji bagaimana perlaksanaannya boleh dibuat dengan sempurna kerana tidak mahu ia dilaksanakan secara 'try and error'.

“Dalam Islam sendiri, kita bukanlah cepat menghukum. Islam adalah agama pendidikan, pengajaran. (Tidak boleh) kita nak potong semua tangan kerana mencuri, kalau tak tahu kenapa. Kita kena tahu juga kenapa mereka mencuri. Adakah kerana mereka jahat, tidak ada kerja?

“Sekarang ini, kita tidak boleh tolak hukum. Cuma pendekatannya perlu sempurna. Hudud di Terengganu misalnya, Kanun Jenayah Syariah Terengganu, ada yang bercanggah.

“Bukannya kita tolak, tetapi kemampuan kita, keupayaan kita, persiapan kita, cukup atau tidak. Hudud bukanlah isu politik, tetapi kena lihat kemampuan dan persiapan kita.Kalau Kelantan boleh buat dan berjaya, kita ikutlah. Macam Brunei nak buat, kita tunggu macam mana mereka nak laksanakan. Nak belajar daripada mereka, tetapi jangan benda sebegini jadi isu politik,” katanya.