• 'Aku nok bunuh mu’
1 / 1
KOTA BHARU - Seorang duda anak satu mengaku tidak salah atas tuduhan mengugut bunuh bapanya dengan kata-kata, ‘Aku nok bunuh mu’, 20 November lalu.

Tuduhan ke atas Zali Zulyadi Seman, 33, dibuat di hadapan Majistret, Mohd Isa Mohamad di mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata itu sambil di tangan memegang sebatang kayu terhadap Seman Idris, 67, di hadapan bilik sebuah rumah beralamat di Kampung Seberang Pasir Mas Salor, di sini.

Kejadian berlaku pada jam 3.50 petang, 20 November lalu, namun susulan daripada penafiannya, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad memohon tarikh sebutan dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan tinggal bersama dengan bapanya.

Dia yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon jaminan dibenarkan dan tertuduh mengaku insaf terhadap kesilapannya itu.

Mohd Isa bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula pada 22 Disember depan.