• Mohamad Dolmat Mohamad Dolmat
1 / 1
SHAH ALAM - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) kesal dengan tindakan kontraktor yang mengambil kesempatan menipu projek baik pulih rumah nelayan di beberapa kawasan di negara ini.

Pengerusinya, Mohamad Dolmat berkata, selain mengambil tindakan sewajarnya, pihak berkuasa perlu membuat pemantauan secara menyeluruh supaya tidak berlaku lagi kes-kes begini pada masa akan datang.

Menurutnya, dalam usaha kerajaan ingin membantu nelayan-nelayan dengan memberi dana khas membina atau membaik pulih rumah, ada pula beberapa kontraktor yang bersikap tidak jujur hingga menyebabkan nelayan menjadi mangsa.

"Kerajaan menyediakan dana khas untuk membantu nelayan, tetapi ada pihak ketiga mengaut untung dengan banyak di atas Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) ini.

"Saya melihat perkara ini bukan lagi sebagai kes terpencil apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 63 kertas siasatan.

"Ia bukan satu jumlah kecil, kertas siasatan itu bukan menyeluruh, baru beberapa kawasan sahaja. Saya harap perkara ini dapat disiasat lagi supaya golongan nelayan tidak terus ditipu," katanya, semalam.

Beliau berkata, Nekmat sebelum ini ada mendengar rungutan beberapa nelayan mengenai isu ditipu, tetapi tidak ada tindakan lanjut.

"Saya berharap, dengan terbongkarnya perkara ini, nasib nelayan dapat dibela," katanya.

Mohamad berkata, perkara sebegitu tidak berlaku di tempat diuruskan persatuan nelayan kawasan.

"Ada beberapa kawasan, wang dana khas PKPN diberikan kepada persatuan nelayan kawasan. Jadi, persatuan nelayan yang uruskan dana tersebut akan membina atau membaik pulih rumah-rumah nelayan tanpa memikirkan soal keuntungan tetapi sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Mungkin selepas ini, kerajaan boleh memikirkan mekanisme terbaik untuk mengelakkan lebih banyak ketirisan berlaku khususnya yang membabitkan nelayan," katanya.

Jelasnya, dengan pendedahan sebegini, ia dapat membantu nelayan mendapatkan hak mereka.

"Kerajaan sudah memberikan pelbagai kemudahan kepada nelayan termasuk wang sara hidup sebanyak RM250. Walaupun ia sebagai tambahan, tetapi nelayan tidak seharusnya dibebani masalah sebegini, lebih-lebih lagi membabitkan tempat tinggal mereka dan keluarga.

"Tidak patut ada pihak lain mengaut untung dengan dana khas yang diberikan untuk nelayan. Saya berharap, nelayan yang mempunyai masalah seperti ini atau apa sahaja perkara lain, tampil kepada pihak yang sepatutnya," katanya.

Susulan pendedahan Sinar Harian kelmarin mengenai nelayan ditipu, semalam SPRM menahan 23 kontraktor yang disyaki menipu projek baik pulih rumah nelayan. Mereka yang ditahan didakwa di Mahkamah Sesyen Dungun, hari ini.