• Abdul Hadi Awang Abdul Hadi Awang
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Ahli Pas yang berhasrat menyertai parti baharu yang dikatakan bakal menggantikan Pas perlu mengambil perhatian terhadap peringatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Terengganu, Dr Hamdan Muhammad berkata, mereka perlu merujuk sejarah perjalanan Pas supaya perjuangan politik mereka tidak rugi, apatah lagi selepas menghabiskan masa dan tenaga berjuang begitu lama dengan Pas.

Beliau turut menyifatkan Pas sebagai sebuah bahtera yang sudah lengkap kepada ahli-ahlinya yang tidak memerlukan kepada parti baharu bagi menggantikan Pas.

“Pas merupakan paling awal dan mempunyai jemaah yang lengkap, dari segi dasar, hala tuju yang jelas. Kalau hendak cari bahtera lain tidak tepat. Bahtera yang ada ini cukup lengkap dengan nakhoda dan dasar perjuangan yang jelas. Tidak perlu cari jemaah yang lain, takut tidak sampai kepada matlamat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam surat terbuka Abdul Hadi kepada ahli Pas kelmarin, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti bahawa sejarah Pas menunjukkan mereka yang keluar parti itu dan bersama parti baharu akan tenggelam.

Beliau berkata, setiap ahli Pas mestilah bersama dengan jemaah yang diwujudkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah teguh bersama konsep pendekatannya dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

Hamdan yang juga Pengerusi Tetap Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pengalaman Pas berhadapan dengan cabaran ahli yang keluar parti itu selepas parti serpihan ditubuhkan sebenarnya langsung tidak mendatangkan sebarang kesan.

Sebaliknya parti serpihan itu seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) bukan sahaja tidak mampu menyaingi Pas, malah terkubur begitu sahaja.

“Dia keluar daripada Pas, tubuhkan parti baharu tetapi parti itu entah ke mana. Ke kiri tidak, ke kanan tidak. Ini kerana perjuangan Pas jelas kerana ia bukan di dunia sahaja tetapi untuk ALLAH. Perjuangan Pas bukan untuk dunia semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengharapkan semua ahli Pas mengikhlaskan diri setiap masa berjuang dalam Pas tanpa mengira kedudukan sama ada menang atau kalah dalam pemilihan baru-baru ini.