Azmin: Amanat Abdul Hadi lebih penting
KUALA SELANGOR - Amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
mahu tahaluf siyasi PR diperkukuhkan pada ucapan dasarnya, lebih penting
daripada usul yang diputuskan secara bersama oleh Dewan Ulama.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau menghormati usul yang dibuat oleh mana-mana dewan pada Muktamar Pas kali ini.
Namun tegasnya, ucapan dasar Presiden itu perlu diberi keutamaan oleh ahli Pas.
"Itu usul satu Dewan, kita ada tiga Dewan dalam Pas.
“Mengapa usul yang diputuskan Dewan Ulama yang perlu ditekankan, mengapa tidak ucapan dasar Presiden Pas?" soalnya mengulas mengenai usul yang diputuskan sebulat suara oleh Dewan Ulama Pas semalam untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP.
Bagaimanapun, Azmin akur bahawa pandangan itu merupakan hak anggota Pas dalam sebuah sistem demokrasi.
"Dalam sesebuah parti, kita kena hormat pandangan dan usul yang telah dibentangkan tetapi akhirnya ucapan dasar presiden itu sebagai ketua parti yang akan mencorakkan masa depan dan hala tuju parti.
“Ini harus dilihat secara positif dan bertanggungjawab oleh semua pihak," katanya ketika ditemui selesai ucapan dasar Presiden Pas pada Mukamar Tahunan Pas ke-61, di Stadium Kuala Selangor, hari ini.
Kata beliau lagi, semua pihak perlu berlaku adil kepada apa yang ditegaskan oleh Abdul Hadi, selaku Presiden yang mengajak seluruh anggota Pas supaya perkukuhkan PR melalui prinsip tahaluf siyasi.
"Ini satu penegasan yang diulang berulang kali oleh Abdul Hadi. Ini menunjukkan komitmen beliau selaku Presiden Pas supaya seluruh kepimpinan dan anggota Pas memahami keperluan meneruskan tahaluf siyasi.
Menurut Azmin, ucapan dasar Abdul Hadi itu satu perkembangan yang cukup baik dan positif dengan memberi peluang kepada pimpinan tertinggi PR, meneruskan perjuangan dalam PR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.
0 orang berkata:
Post a Comment