DAP tidak mesra Pakatan
KUALA TERENGGANU - Dakwaan DAP bahawa Pas tidak mesra PR disanggah,
sebaliknya Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi
menyifatkan DAP sebenarnya tidak mesra Pakatan.
Muhammad Khalil berkata, perkara itu dibuktikan melalui sikap DAP yang
langsung tidak menjaga hati rakan sendiri apabila kerap mengeluarkan
kenyataan terbuka yang tidak berdasarkan fakta.
Realitinya beliau berkata, Pas sejak dahulu sehingga kini masih tetap
bersama-sama PR dan pendirian itu selari dengan kenyataan Presiden Pas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdasarkan keputusan Muktamar Tahunan Pas
sebelum ini.
“Keputusan kalau Pas ini bergabung dengan Umno, bukan keputusan
individu, bukan keputusan presiden, Pemuda dan seumpamanya. Pas ini
sebuah parti, yang mana kita ada sistem kita sendiri, diputuskan oleh
jemaah, jawatankuasa, oleh syura, muktamar dan seumpamanya.
“Contohnya kita lihat dalam sejarah Pas, bila Pas duduk dalam kerajaan
perikatan masa itu selepas krisis perkauman 13 Mei 1969, jadi itu
diputuskan dalam muktamar,” katanya.
Beliau menjelaskan kenyataan yang mengaitkan Pas akan bergabung dengan
Umno adalah suara syaitan kerana lahir daripada perasaan was-was.
Jelasnya, ia langsung tidak bersandarkan hujah dan fakta sambil
menegaskan Pas dan Umno tidak boleh bergabung, umpama minyak dan air
kerana dasar perjuangan kedua-dua parti itu jauh berbeza sama sekali.
Sehubungan itu, katanya, amat malang sekali kerana sikap dan tindakan
diambil DAP tidak menunjukkan semangat kekawanan dalam PR.
Tegasnya, isu yang sudah lama ditimbulkan dan cuba dihangatkan semula
bertujuan memburukkan pihak lain apatah lagi mengaitkan Pas, Presiden
Pas dan keputusan muktamar bakal memihak kepada Umno.
“Saya tak tahulah apa yang berlaku kepada DAP ini, sebab kita Pas kita
tak masuk campur urusan parti dia, tetapi kenapa dia hendak masuk campur
urusan parti kita.
“Dia komen macam-macam, bukan sekali komen (tetapi) beberapa kali komen
pasal kepimpinan parti secara umumnya, presiden secara khususnya dan
muktamar secara umumnya. Macam-macam komen diberikan,” katanya.
1 orang berkata:
DAP diam urusan PAS.
Post a Comment