•  Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi Khalil Abdul Hadi
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Dakwaan DAP bahawa Pas tidak mesra PR disanggah, sebaliknya Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan DAP sebenarnya tidak mesra Pakatan.
 
Muhammad Khalil berkata, perkara itu dibuktikan melalui sikap DAP yang langsung tidak menjaga hati rakan sendiri apabila kerap mengeluarkan kenyataan terbuka yang tidak berdasarkan fakta.
 
Realitinya beliau berkata, Pas sejak dahulu sehingga kini masih tetap bersama-sama PR dan pendirian itu selari dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdasarkan keputusan Muktamar Tahunan Pas sebelum ini.
 
“Keputusan kalau Pas ini bergabung dengan Umno, bukan keputusan individu, bukan keputusan presiden, Pemuda dan seumpamanya. Pas ini sebuah parti, yang mana kita ada sistem kita sendiri, diputuskan oleh jemaah, jawatankuasa, oleh syura, muktamar dan seumpamanya.
 
“Contohnya kita lihat dalam sejarah Pas, bila Pas duduk dalam kerajaan perikatan masa itu selepas krisis perkauman 13 Mei 1969, jadi itu diputuskan dalam muktamar,” katanya.
 
Beliau menjelaskan kenyataan yang mengaitkan Pas akan bergabung dengan Umno adalah suara syaitan kerana lahir daripada perasaan was-was.
 
Jelasnya, ia langsung tidak bersandarkan hujah dan fakta sambil menegaskan Pas dan Umno tidak boleh bergabung, umpama minyak dan air kerana dasar perjuangan kedua-dua parti itu jauh berbeza sama sekali.
 
Sehubungan itu, katanya, amat malang sekali kerana sikap dan tindakan diambil DAP tidak menunjukkan semangat kekawanan dalam PR.
 
Tegasnya, isu yang sudah lama ditimbulkan dan cuba dihangatkan semula bertujuan memburukkan pihak lain apatah lagi mengaitkan Pas, Presiden Pas dan keputusan muktamar bakal memihak kepada Umno.
 
“Saya tak tahulah apa yang berlaku kepada DAP ini, sebab kita Pas kita tak masuk campur urusan parti dia, tetapi kenapa dia hendak masuk campur urusan parti kita.
 
“Dia komen macam-macam, bukan sekali komen (tetapi) beberapa kali komen pasal kepimpinan parti secara umumnya, presiden secara khususnya dan muktamar secara umumnya. Macam-macam komen diberikan,” katanya.