• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1


SHAH ALAM – Ketika heboh diperkatakan bakal wujudnya parti baharu, bekas Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan tidak akan menyertai kumpulan progresif  yang menggelarkan diri 18 (G18).

Bertegas masih setia berkhidmat sebagai ahli Pas, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau masih tidak bersedia untuk meninggalkan Pas yang disertainya sejak sekian lama.


“Saya masih Yang DiPertua Pas Pokok Sena dan ahli parlimen. Saya juga masih ahli Pas. Full stop (itu sahaja),” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
  Ketika ditanya lagi, Mahfuz dengan tegas berkata, beliau masih menghormati ahli-ahli G18 meskipun ‘berbeza haluan’.

“Saya tidak akan join (sertai).. Tapi saya menghormati mereka iaitu kawan-kawan saya yang sudah berada dalam kumpulan G18,” katanya lagi.


Pemimpin Pas yang tewas dalam pemilihan Pas baru-baru ini menyifatkan kekalahan mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi 'rahmat yang terselindung' apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk negara selepas ini.


Setiausaha jawatankuasa bertindak kumpulan G18, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.


Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengepalai kumpulan itu sebelum ini tampil dengan kenyataan mengalu-alukan peringatan dan amaran khususnya daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung rancangan mereka untuk menubuhkan parti baharu.