• Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
KOTA BHARU – Wacana keilmuan berkenaan perpaduan yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) harus diperluaskan lagi kepada semua parti-parti politik di seluruh Malaysia.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perpaduan bukan hanya dua parti sahaja iaitu Umno dan Pas sebagaimana yang sering diperkatakan, namun ia melibatkan semua pihak di Malaysia.

“Perpaduan Umno dan Pas tidak akan selesai ataupun menyelesaikan masalah perpaduan dalam negara. Kena jemput sekali bukan Islam seperti DAP, MCA, PKR, barulah lebih menyeluruh wacana ilmiah tersebut,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau turut dijemput sebagai salah seorang panel di Wacana Perpaduan Nasional anjuran Kluster Perpaduan Nasional MPN di Hotel Perdana yang bertemakan Mencari Titik Pertemuan Perpaduan Bersama.

Nik Abduh menyambut baik penganjuran wacana ilmu seperti itu memandangkan ia membawa kepada kebaikan mengenai perpaduan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, berliau turut ditanya mengenai penubuhan parti baru oleh kumpulan yang didakwa ditolak ketika muktamar Pas baru-baru ini.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan ia sebagai fenomena baru dalam politik tanah air terutamanya selepas muktamar bulan lepas.

“Tidak boleh tanya saya, kena tanya orang yang nak tubuh itu, saya tidak tahu perkembangan mereka.

“Cuma itu adalah satu cerita politik baru lah selepas pasca muktamar pas ini dan mungkin cerita ini bermula selepas PRU13. Jadi kita tengoklah nanti, saya tidak boleh ulas sebab itu bukan daripada inisiatif saya,” katanya.

Nik Abduh turut ditanya mengenai sejauh mana kekuatan parti baru yang akan ditubuhkan itu mengikut sejarah perkembangan politik tanah air sebelum ini.

“Ada parti mati, ada yang tidak, yang tak mati tu macam PKR, dia baru tapi terus hidup sampai sekarang. Dalam dunia demokrasi kita tidak boleh menghalang sesiapa pun, saya tidak boleh nak teka, itu atas kekuatan masing-masing,”katanya.