• Mohamad Sabu Mohamad Sabu
1 / 1
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan memperhalusi secara terperinci sebarang peringatan, teguran dan kecaman terhadap beliau dan rakan-rakannya yang tewas pada pemilihan lepas.

Beliau tidak menolak akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pucuk pimpinan tertinggi Pas yang berterusan mengecam hasratnya untuk menubuhkan parti Islam baharu.

"Sebarang peringatan, teguran dan kecaman, saya dan rakan-rakan akan mengambil kira dan akan bincang secara halus dan terperinci sebelum langkah-langkah seterusnya diambil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut menyambut baik peringatan mana-mana pihak supaya lebih berhati-hati jika mahu menubuhkan parti baharu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak, daripada Mursyidul Am hinggalah ke bawah yang memberikan peringatan kepada kami dalam banyak hal sama ada menubuhkan parti yang lain ataupun mengambil langkah-langkah yang lain ke arah untuk mempertahankan Islam dan  masyarakatnya dan rakyat Malaysia secara amnya," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengumumkan Pakatan 2.0 bakal muncul bagi menggantikan PR yang sudah tidak wujud lagi.

Penubuhan Pakatan 2.0 itu dibayangkan Teresa Kok menerusi status di laman sosial Faceboknya pada 23 Jun lalu.

Pendedahan itu menguatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu yang membayangkan pakatan pembangkang akan muncul semula dengan kerjasama yang lebih kuat dan kukuh termasuk dengan penglibatan beberapa NGO.