Pas kekal dalam PR selagi tak langgar syarak
KUALA SELANGOR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan
parti itu akan terus bertahaluf siyasi bersama PR selagi tidak
bercanggah dengan panduan al-Quran dan Sunnah.
Menurut beliau, semua kerjasama politik yang dijalin Pas selama ini
dilakukan dengan kaedah dibenarkan syarak dan syarat yang tidak mengikat
parti itu untuk membawa Islam.
“Maka sebagaimana yang berkali-kali diperjelaskan sebelum ini, Pas
melaksanakan tahaluf siyasi bersama PR dalam perkara yang dipersetujui.
Antaranya menentang kezaliman, rasuah, ketirisan dan urus tadbir telus
yang menjadi titik pertemuan (dalam PR).
“Agenda ini kita rangkakan sebagai panduan dan perkara yang
dipersetujui dalam polisi bersama PR,” katanya ketika menyampaikan
ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas ke-61, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, setiap parti akan memperjuangkan agenda
masing-masing sekiranya ia berbeza dengan pendirian rakan PR lain atau
tiada dalam polisi bersama.
“Sebab itulah, walaupun kita tahu parti kawan kita memperjuangkan
perlembagaan sekular yang bercanggah dengan dasar Pas, tetapi kita tidak
pernah meminta mereka mengkaji dan dan membawa dasar sekular ini dalam
perbincangan.
“Apatah lagi kita tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak
patut berada dalam kepimpinan parti masing-masing, walau kita diserang
siang dan malam,” katanya.
Pas menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP sejak 2008 menggunakan nama PR selepas PRU-12.
Bagaimanapun, hala tuju kerjasama politik antara Pas dan DAP kini
menjadi tanda tanya berikutan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan
Abdul Hadi, tetapi masih bekerjasama dengan Pas.
Isu tersebut juga semakin berlarutan apabila Dewan Ulama Pas Pusat
kelmarin meluluskan usul tergempar agar Pas memutuskan hubungan dengan
DAP.
0 orang berkata:
Post a Comment