• Mangsa nekad kejar peragut Keadaan suspek yang ditangkap orang ramai.
1 / 1
LUBOK JONG - Seorang Pembantu Pemaju Masyarakat Tabika Kemas Lubok Jong nekad mengejar sambil menjerit ke arah seorang pemuda, yang meragut dompetnya dekat simpang tiga Pondok Polis Repek, jam 2 petang semalam.

Mazrina Mazlan, 26, berkata, dia baru sahaja mengambil adik sepupunya yang berusia sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang dengan menunggang motosikal.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, dia terkejut apabila lelaki berkenaan mengambil beg yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.

"Saya terlalu terkejut dan geram dengan tindakannya sehingga saya menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dan hampir dilanggar kereta dari arah bertentangan.

"Ketika itu sebuah kereta Unit Pencegah Penyeludupan mendengar jeritan saya, turut mengekori suspek sehingga ke Kampung Tali Sauh, Lubok Jong berdekatan Taman Tengku Anis," katanya.

Namun Mazrina berkata, mereka mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek terbalik di kawasan semak manakala suspek berjaya melarikan diri.

Tidak lama kemudian, Mazrina berkata, atas bantuan penduduk kampung, suspek berjaya ditahan dan mendapat semula dompet berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, seorang pemuda ditahan penduduk kampung dalam keadaan berlumuran darah di kepala.

Menurutnya, suspek berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital  Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Suspek yang panik selepas mendapati diekori pihak berkuasa, disyaki  terjatuh dari motosikal, mengalami patah tangan kiri, patah pergelangan tangan kanan  cedera di bahagian atas kepala dan luka pada betis kaki kanan.

"Kes ini disiasatan mengikut sekyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun," katanya.