DAP tidak setuju PKR senaraikan nama dalam ‘kabinet bayangan’
October 01, 2012
KUALA LUMPUR, 1 Okt — Tindakan menyenaraikan nama pemimpin PKR
dalam “kabinet bayangan” menerima kritikan timbalan pengerusi DAP, Dr
Tan Seng Giaw (gambar) yang menyifatkan langkah
tersebut sebagai khayalan kerana parlimen belum dibubarkan tetapi sudah
meletak calon dalam kementerian tertentu.
Tan dipetik dari Sinar Harian Online hari ini berkata
tindakan itu sebagai langkah salah dan tidak sepatutnya dilakukan kerana
fokus sebenar ialah kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
“Tetapi pilihan raya belum berlangsung sudah memilih calon bagi jawatan tertentu adalah khayalan semata-mata,” kata Dr Tan.
Dua hari lalu, akhbar tersebut mengeluarkan laporan seramai 20
pemimpin PKR akan dilantik di kabinet jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya
menakluk Putrajaya dalam PRU nanti.
Dalam maklum balas kepada The Malaysian Insider, Dr Tan
mengesahkan berkata perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam
mesyuarat PR dan menegaskan keputusan muktamad hanya boleh dibuat
selepas menang PRU.
“Saya tidak tahu siapa yang meletakkan senarai tersebut. Ia tidak
pernah dibincangkan dalam mesyuarat PR. Walaupun isu ini sering
dibangkitkan, hanya selepas pilihan raya umum baru boleh disahkan siapa
yang akan dilantik sebagai anggota kabinet. Terdapat pemimpin yang
berkebolehan untuk membentuk kabinet,” katanya.
Menurut laporan Sinar lagi, ketua penerangan PKR Selangor, Shuhaimi
Shafiei berkata sebahagian kecil pimpinan kanan dalam parti akan mengisi
jawatan kabinet memandangkan perkara tersebut sudah menjadi tradisi
dalam kepimpinan politik tanahair.
“Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga
pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha,
bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik,
pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.
“Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya
akan berada dalam jemaah menteri,” katanya pada majlis yang diadakan di
Shah Alam Convention Centre, Sabtu lalu.
Dr Tan juga mencabar PKR untuk memenangi PRU terlebih dahulu sebelum
mengumumkan senarai wakil mereka dalam kabinet bagi mengelakkan sebarang
perselisihan faham.
“PKR mesti memenangi dahulu kerusi dalam kawasan barulah boleh
menentukan siapa yang akan menyandang jawatan dalam kementerian,’ tambah
Tan lagi.
Gesaan menamakan barisan “kabinet bayangan” menjadi modal yang sering
digunakan oleh Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam mempersoalkan
kebolehan PR mengguruskan sesebuah kerajaan memandangkan mereka tidak
berupaya menyelesaikan masalah tersebut.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin
Mohamad baru-baru ini mencabar kepimpinan PKR dan rakan-rakan PR
menamakan kabinet bayangan mereka sambil menuduh PR cuba melarikan diri
daripada menjawab persoalan tersebut.
‘‘Jangan asyik berselindung di bawah permainan politik retorik,’’ kata ahli parlimen Sepang itu.
1 orang berkata:
Ambo risau betul dgn PKR ni......
Post a Comment