18 Ogos, 2013
Situasi Terbaru Dari Mesir
Ribuan penyokong Persaudaraan Islam berhimpun di jalan raya selepas solat Jumaat
KAHIRAH: Angka korban keganasan terus meningkat di Mesir, sedang ribuan
penyokong kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwan) berhimpun di jalan-jalan
raya Kahirah dan beberapa kawasan lain negara itu semalam di sebalik
perintah darurat yang dikenakan pihak tentera.
Sumber-sumber pasukan keselamatan mengatakan keempat-empat penunjuk
perasaan yang setia kepada bekas presiden yang digulingkan, Encik
Mohamed Mursi, telah mati ditembak dalam pertempuran dengan pasukan
keselamatan di bandar Ismailia dekat Terusan Suez.
Keganasan juga dilaporkan di kawasan-kawasan lain. dengan seorang
pegawai polis dilaporkan terbunuh dalam serangan di pusat pemeriksaan
Kahirah.
Beribu-ribu penunjuk perasaan telah keluar daripada masjid-masjid
selepas solat Jumaat bagi menyahut seruan kumpulan Ikhwan supaya
diadakan "Hari Kemarahan'' ekoran kematian 638 orang penunjuk perasaan
dalam pertempuran Rabu lalu - hari paling berdarah di Mesir sejak
beberapa dekad lalu.
Pemerintah Mesir telah meluluskan penggunaan kekerasan yang boleh
membawa maut ke atas pembantah yang menyerang polis dan
institusi-instusi negara, sementara masyarakat antara bangsa menyeru
kedua-dua pihak agar menahan diri seberapa boleh demi mengelakkan lebih
banyak pertumpahan darah.
Serangan balas terbaru ke atas pasukan keselamatan dilakukan oleh pihak
pembantah, kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh askar dan
seorang anggota polis terbunuh di Semenanjung Sinai, dan seorang lagi
anggota polis maut di Assiut, sebuah bandar di bahagian tengah Mesir.
Kritikan daripada masyarakat antarabangsa terus diluahkan dan Majlis
Keselamatan PBB telah mengadakan satu mesyuarat tergempar mengenai
krisis itu.
Encik Gehad al-Haddad, seorang jurucakap Ikhwan, mengumumkan mengenai perarakan semalam menerusi laman Twitternya.
"Perhimpunan antirampasan kuasa... akan bertolak dari semua masjid di
Kahirah dan menuju ke arah Dataran Ramsis selepas solat (Jumaat) dalam
acara 'Jumaat penuh Kemarahan'," kata beliau dalam tulisannya.
Cik Laila Moussa, seorang jurcakap bagi Pakatan Islamis Anti-Rampasan
Kuasa, sebuah kumpulan yang membantah penggulingan Encik Mursi, berkata
protes-protes serupa sedang dirancang di seluruh negara itu.
Beliau berkata mereka yang taat kepada Encik Mursi, termasuk dua bekas
anggota parlimen Mesir, telah ditahan dalam satu serangan pada waktu
fajar, sebelum bermulanya protes-protes itu.
Kelmarin, kumpulan Tamarod, yang menganjurkan pemberontakan terhadap
pemerintahan Encik Mursi, juga menggesa rakyat Mesir supaya berarak di
jalanan.
Ia semalam berkata mereka seharusnya keluar berhimpun "untuk menolak pengganasan domestik dan campur tangan asing".
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, pula memberi responsnya
terhadap kejadian di Mesir itu dengan mengumumkan pembatalan latihan
bersama tentera Amerika-Mesir.
"Sedang kami mahu mengekalkan hubungan dengan Mesir, kerjasama
tradisional kami tidak boleh diteruskan seperti biasa apabila orang awam
dibunuh di jalan raya dan hak asasi diketepikan," kata beliau.
Namun, pejabat presiden Mesir semalam menjawab bahawa kenyataan Encik Obama itu boleh menggalak tindak balas kumpulan militan. ~agensi
0 orang berkata:
Post a Comment