• Nik Aziz Nik Mat Nik Abdul Aziz Nik Mat
1 / 1
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pendekatan kerajaan negeri Kedah dalam menangani isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) seolah-olah cuba menguburkan institusi pengajian berkenaan.

Menurutnya, cara kerajaan Kedah yang kini ditadbir parti lawan jelas menampakkan keinginan mereka untuk melemahkan perjalanan institusi pengajian agama berkenaan apabila kemasukan Julai 2013 lalu merosot sehingga 50 peratus.

“Kontroversi yang melanda Insaniah boleh menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pusat pengajian berkenaan dan tidak mustahil ia boleh menguburkan institusi pengajian tinggi agama di negara ini,” katanya yang dipetik melalui Facebooknya, semalam.

Dakwanya, perkara yang sama pernah berlaku di Kelantan ketika negeri ini ditadbir pembangkang sekitar 1978.

“Kelantan sebelum ini mempunyai Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang menawarkan program pengajian peringkat ijazah, dan pelajar boleh menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Namun semuanya berakhir apabila pada tahun 1981, YPTIK diambil alih oleh Universiti Malaya dan ditukar nama kepada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hilanglah satu permata pendidikan tinggi Islam di Kelantan hasil kerja buat pembangkang,” katanya.

Nik Abdul Aziz mendakwa, hanya satu alasan di sebalik perkara itu, iaitu kebimbangan parti lawan terhadap golongan berpendidikan agama yang berkemungkinan besar tidak akan menyokong mereka.

Dalam pada itu, kemelut Insaniah tercetus apabila lebih 20 daripada 400 kakitangan institusi pengajian tersebut menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung ketidakpuasan hati terhadap pengurusan serta menuntut hak pembelaan.

Penyerahan memorandum itu berikutan rasa kesal terhadap Azizan yang mengheret isu institusi itu ke kancah politik semata-mata untuk menutup kemelut kelemahan pentadbiran dihadapi, selain terkilan dakwaan pemimpin itu yang menuduh kakitangan Insaniah cuba berunding dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), sebagai ejen parti lawan.