'Ketepikan politik, ayuh kibarkan Jalur Gemilang'
KUALA LUMPUR - Perbezaan politik tidak seharusnya menghakis semangat
patriotisme dan rasa megah untuk mengibarkan bendera sempena sambutan
Hari Kemerdekaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata meskipun parti pembangkang di negara-negara jiran
seperti Singapura, Thailand dan Indonesia semakin ramai menjadi
perwakilan, namun apabila tibanya Hari Kebangsaan, rakyat negara itu
mengenepikan fahaman politik untuk bersatu padu dan mengibarkan bendera
di rumah masing-masing.
Katanya beliau dukacita dan kesal kerana berdasarkan pemerhatian,
semangat dan kesedaran untuk mengibar Jalur Gemilang secara megah di
setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta di negara ini dilihat
semakin kurang.
"Sekarang bendera (Jalur Gemilang) tidak nampak. Saya berasa sedih.
Keadaan itu sama sekali berbeza dengan keadaan di negara jiran apabila
semua orang menunjukkan patriotisme masing-masing walaupun mempunyai
perbezaan pandangan politik.
"Saya pergi ke negara jiran di sebelah selatan. Negara itu sambut Hari
Kebangsaan pada 9 Ogos. Kalau masuk negara mereka, dari lapangan terbang
sehingga ke bandar, saya lihat bendera negara itu dipasang secara
tersusun di pangsapuri dan kondominium," katanya ketika menjadi tetamu
program Soal Jawab TV3 malam semalam.
Beliau berkata perkara sama juga dapat dilihat di Indonesia dan
Thailand, iaitu apabila tiba masa untuk menunjukkan perasaan cinta dan
mempertahankan simbol negara, rakyat negara itu memberi komitmen secara
seratus peratus.
"Jangan kata negara Singapura tidak ada pembangkang. Thailand pun ada
pembangkang sehingga ada kumpulan 'Red Shirt' dan 'Yellow Shirt', dan
berlaku rampasan kuasa tentera. "Tetapi, pada Hari Kebangsaan,
rakyat negara-negara itu semua sayang kepada negara dan raja. Sama juga
di Indonesia. Di sini terutamanya di Putrajaya yang mempunyai kuarters
kerajaan sendiri masih kurang bendera dipasang," katanya.
Ahmad Shabery berkata sesetengah rakyat Malaysia menunggu kerajaan memberi bendera.
"Saya tengok satu blok cuma satu dua unit pasang bendera, dan satu blok
langsung tidak ada bendera. Walaupun ramai berkata patriotisme terletak
di hati dan bukannya pada bendera, saya rasa bila tiba waktunya,
'ritual' semangat kemerdekaan perlu ada," katanya. - Bernama
1 orang berkata:
baru menteri merayu raayat untuk pasang bendera nak sambaut hari merdeka? atas pentas sambuatan penuh dengan ahli umno mana pergi pemimpin lain. mereka di ketepikan. kan elok yang sambut merdeksa tu, 47% sahaja yang berjas kepada negara yag lain dah kena sampah seranah oleh menteri/wakil BN. macam mana nak bersatu. lepas tu, wang kerajaan dihabiskan beli bendera BN, jalur gemilang suruh raayat korban. banyak sangat raayat nak korban.
Post a Comment