• Pemuda dakwa dipukul polis Keat Siang menunjukkan luka yang dialaminya akibat dipukul pada malam kejadian.
1 / 2
SITIAWAN - Seorang pemuda mendakwa dipukul anggota polis sehingga cedera di beberapa bahagian badan selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan Taman Sejati, di sii, 26 Ogos lalu.

Pengadu, Law Keat Siang, 20 memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam dan dia memandu berseorangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta lain.


Menurutnya, dia telah berhentikan kereta bagi membincangkan masalah pelanggaran itu supaya dapat diselesaikan.


“Kereta berkenaan dinaiki dua lelaki dan salah seorang mendakwa dirinya polis. Dia berpakaian biasa tetapi telah menunjukkan kad akuan sebagai polis.


"Dia minta kad pengenalan saya tetapi saya tak beri kerana dia tidak berpakaian seragam polis ketika kejadian," katanya pada sidang media di Pejabat DAP Sitiawan, semalam.


Tambah Keat Siang, dua lelaki tersebut menghubungi seseorang dan selepas itu dua anggota polis tiba menaiki sebuah kereta peronda.


"Mereka gari saya sebelum sempat saya beri penjelasan mengenai kejadian. Mereka juga memukul saya sehingga cedera di beberapa bahagian badan termasuk luka di pipi kiri, lebam mata kiri, sakit di belakang kepala dan leher.


"Mereka bawa saya ke Balai Polis Seri Manjung dan masukkan saya ke dalam lokap selama satu malam. Saya terkilan kerana tidak diberi peluang untuk menjelaskan situasi sebenar," katanya.


Katanya, sekiranya lelaki terbabit ingin membuat rundingan berkenaan bayaran, dia sanggup membayar pada keesokan hari namun tidak diberi peluang melakukannya.


Keat turut memaklumkan bahawa satu laporan berkenaan kejadian telah dibuat di Balai Polis Seri Manjung.


Sementara itu, Setiausaha Politik Adun Sitiawan, Steven Cheong Ngin Koon berkata, perkara seumpama itu pernah berlaku setahun lalu namun belum ada tindakan hingga kini.


Beliau berharap polis dapat mengambil tindakan segera agar perkara itu dapat diselesaikan secara adil.


"Kami tahu polis menjalankan tanggungjawab mereka. Namun perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.


Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


"Kami tidak ambil ringan perkara ini dan siasatan dibuat secara terperinci untuk keadilan," katanya.