• Malek Noor Malek Noor
1 / 1
SEBUT jaguh bina badan Asia, sudah pasti ramai akan teringat kepada atlet sukan itu yang suatu masa dahulu pernah mengharumkan nama negara.

Malah beliau juga telah dijadikan sebagai ikon baru meskipun kini telah bersara dalam sukan bina badan tersebut.


Ikuti wawancara khas wartawan Sinar Harian Online bersama bekas jaguh bina badan negara Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali, Datuk Abdul Malek Mohamed Noor atau lebih dikenali sebagai Malek Noor yang berkongsi pengalamannya dengan atlet generasi baru menjelang Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.



SINAR HARIAN ONLINE: Menjelang Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, apakah peranan atlet negara yang boleh dimainkan dalam mengangkat semangat patriotisme dalam masyarakat negara ini?

MALEK NOOR: Sebelum itu, saya mengucapkan selamat hari kemerdekaan kepada semua rakyat di negara ini.

Kita dalam pemerintahan kerajaan yang cukup aman, sebagai wakil bekas atlet dan atlet yang ada sekarang, kami berasa bertuah kerana industri sukan negara ditadbir urus dengan baik termasuk program dan kemudahan latihan sukan yang lengkap untuk memajukan dunia sukan tanahair.


Menerusikan membolehkan atlet tempatan menyumbang pingat dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa termasuk kejohanan di peringkat rantau asia dan dunia.


Cara atlet menyumbang kepada negara dengan memerdekakan kita dengan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memenangi seberapa pingat dan konsisten mengharumkan nama negara melalui dunia sukan.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana agaknya sambutan kemerdekaan ketika penglibatan pertama Datuk dalam dunia sukan bina badan sebelum ini?

MALEK NOOR: Setiap tahun kita sebagai ahli sukan diajar untuk menghayati semangat patriotik menerusi rukun negara dan lagu Negaraku itu sendiri.

Apabila patriotisme diterapkan, kami sebagai golongan atlet dapat bersatu padu dan berganding bahu untuk memberi kemenangan dan berusaha menyumbang pingat dalam setiap kejohanan yang disertai.


Kami juga berasa bertuah apabila setiap sumbangan pingat yang kami bawa pulang terasa berbaloi apabila ia dihargai dan diingati sekali gus membakar semangat kami untuk terus beraksi cemerlang pada kejohanan seterusnya.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah pesanan dan harapan Datuk kepada atlet negara dalam meneruskan usaha atlet-atlet terdahulu khususnya pembangunan dunia sukan tempatan?

MALEK NOOR: Dalam pembangunan sukan, atlet tempatan juga boleh menyumbang dalam sektor lain bukan sahaja mewujudkan saingan yang sihat bahkan meneruskan latihan sukan bertaraf profesional tanpa terlalu bergantung kepada imbuhan seperti hadiah dan wang ringgit.

Atlet perlu berpandangan jauh dengan memikirkan seberapa banyak sumbangan yang boleh diberikan kepada negara termasuk memberi inspirasi kepada atlet lain untuk meneruskan kecemerlangan sukan apabila mereka bersara nanti.


Saya sendiri telah melaluinya, yang penting ketelusan, keikhlasan dan rela berkorban untuk negara antara kunci kejayaan saya tanpa mengharapkan sebarang balasan.