• Altantuya Shaariibuu Altantuya Shaariibuu
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini akan mengumumkan keputusannya Jumaat ini berhubung rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas polis yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
  
Ketika dihubungi hari ini, peguam Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili bekas cif inspektor Azilah Hadri, berkata beliau menerima notis daripada pendaftar Mahkamah Rayuan tentang tarikh pengumuman penghakiman kes itu.
  
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah, 34, dan bekas koperal Sirul Azhar Umar, 39, kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006.
  
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
  
Setelah mendengar rayuan mereka selama dua hari mulai 24 Jun tahun ini, panel Mahkamah Rayuan, yang dianggotai hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, menangguhkan keputusan mereka. - Bernama