• Polis buka kertas siasatan Kenderaan yang mempamerkan lambang Geng 04 menuju ke Tanah Perkuburan Hindu Jalan Siram, Butterworth.
1 / 1
GEORGETOWN - Polis membuka dua kertas siasatan terhadap beberapa individu yang dikenal pasti dalam perarakan mengusung mayat dua lelaki yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pihak berkuasa di sebuah pangsapuri di Sungai Nibong, tiga hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata perarakan mengusung mayat dilakukan dari Perai ke Tanah Perkuburan Hindu, Jalan Siram, Butterworth.

Menurutnya, ketika  perarakan, mayat diusung dan beberapa kenderaan turut mempamerkan bendera dan lambang kumpulan itu.

“Polis sudah mengenal pasti individu yang mengusung dan mempamerkan bendera kongsi gelap 04.

“Perbuatan itu adalah satu kesalahan. Oleh itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1996,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Mazlan menegaskan sesiapa yang melakukan kesalahan berkenaan boleh ditangkap tanpa waran dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih dari tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, setakat ini polis belum membuat sebarang tangkapan atau rampasan,” katanya.

Kenderaan yang mempamerkan lambang Geng 04 menuju ke Tanah Perkuburan Hindu Jalan Siram, Butterworth.