Rabu, 21 Ogos 2013
Tim. Menteri Besar Kelantan Jawab Tulisan Profesor Dr Agus Yusof
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah
mempelawa pengkaji politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk datang ke Kota Bharu bagi
menjelaskan segala kekeliruannya mengenai kerajaan negeri itu.
Tawaran itu dibuat Nik Amar dalam satu pertemuan eksklusif dengan The Malaysian Insider di pejabat beliau semalam.
Beliau melahirkan rasa kecewa dengan tindakan orang ramai dan Agus yang
terus menerus mempertikaikan kerajaan negeri termasuk mengapa Naib
Presiden PAS, Datuk Husam Musa tidak dilantik sebagai Exco kerajaan
negeri Kelantan.
"Orang seperti Agus ini harus memahaminya. Dia anak Kelantan, takkan
tidak tahu. Jika dia tidak puas hati, saya bersedia jumpa dia di pejabat
saya di Kota Bharu bila-bila masa," katanya.
Agus sehingga kini membuat tiga tulisan mengenai apa yang berlaku di
Kelantan selepas pilihan raya umum ke 13 (PRU13) melalui facebooknya dan
disiarkan juga oleh The Malaysian Insider.
Bermula dengan tulisan tiada keghairahan baru dalam 100 hari pertama
pentadbiran kerajaan baru di Kelantan, apa yang berlaku kepada projek
lebuhraya rakyat, stadium baru dan masalah bekalan air bersih di
Kelantan.
Dalam tulisan terbarunya, Agus menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau ekoran tulisannya.
Nik Amar sebelum ini pernah menjawab tulisan pertama Agus melalui kenyataannya kepada The Malaysian Insider.
"Saya mempertikaikan tulisan itu kerana dia mendakwa kerajaan negeri
Kelantan kekeringan idea. Saya tidak tolak untuk dikritik. Tetapi dari
mula lagi tulisan dia kata kerajaan Kelantan kekeringan idea," katanya.
Kata Nik Amar, selepas mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri lagi
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub mengisytiharkan dua projek besar iaitu
mahu menyiapkan 3,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun ini.
Menteri Besar juga, katanya mengumumkan dasar mesra keluarga iaitu menempatkan pekerja dekat dengan kediamannya.
"Jadi bagaimana orang bertaraf profesor seperti Dr Agus terlepas semua
perkara ini. Itu isu saya. Langsung dia tidak sebut dalam tulisannya,"
katanya .
Bagi Nik Amar, Agus perlu menyebut apa yang kerajaan negeri Kelantan buat sebelum mengkritiknya.
"Soal setuju tidak setuju perkara kedua. Tetapi kalau dia tertinggal
dua perkara penting ini, macamana seorang profesor pengkaji Kelantan
boleh tertinggal semua perkara ini," katanya.
Husam Musa
Nik Amar juga melahirkan rasa kesalnya terhadap pihak yang terus
menerus mempertikaikan mengapa Husam tidak dilantik semula sebagai Exco
kerajaan negeri Kelantan.
Beliau menegaskan, sudah beberapa kali diberitahu bahawa ia hak Istana Kelantan untuk menerimanya atau tidak.
"Dari mula lagi apabila orang bertanya kenapa Datuk Husam tidak
dilantik, Menteri Besar sudah jelaskan. Soalnya adalah istana tidak
berkenan. Saya meminta semua orang menghormati perkara ini sebab ini hak
istana," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.
Beliau memberikan beberapa contoh apa yang berlaku di negara ini
termasuk kes Datuk Rahim Bakar di Pahang, Dr Rani Othman di Selangor,
Datuk Ghazali Jawi dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Perak.
"Ia bukan berlaku hari ini tetapi berlaku sejak sekian lama.
Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Rani Osman tidak diterima sebagai Exco
kerajaan negeri di Selangor. Ini hak sultan.
"Di Kelantan, Menteri Besar sudah jelaskan perkara ini, kenapa tidak
boleh terima penjelasannya. Adakah anda mempertikaikan integriti beliau
atau adakah anda mendakwa beliau berbohong.
"Kalau kita hendak bercakap kasar, (Profesor Dr) Agus misalnya, pergi ke istana dan tanya," katanya.
"Saya kecewa dengan dia," katanya.
Lebuh raya rakyat
Berhubung dengan lebuh raya rakyat, timbalan menteri besar Kelantan itu
menjelaskan, kerajaan negeri menerima kertas cadangan sebuah syarikat
untuk membuat kajian bagi pelaksanaannya.
Syarikat ini, katanya, diberikan masa selama tiga bulan untuk membuat
kajian termasuk bagaimana hendak melaksanakannya serta sumber kewangan.
"Ada dua bulan lagi masa mereka. Kita tidak perlu membayar apa-apa jika
kita tidak melaksanakannya tetapi jika kita melaksanakannya, syarikat
ini minta mereka diberikan peluang untuk melaksanakannya.
"Keputusan jelas jika kerajaan pusat tidak buat, kita akan buat. Cuma isunya bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau meminta orang ramai jangan salah faham bahawa kerajaan negeri
mengubah keputusan kerana kerajaan negeri kekal dengan keputusan sebelum
untuk melaksanakan projek itu.Beliau memberikan analogi mahu membuat kenduri kahwin.
"Kita sudah setuju nak buat kenduri kahwin, soalnya, duit itu datangnya
dari mana, siapa yang hendak kita panggil, siapa keteringnya. Itu
isunya. Bukan kata tidak mahu kahwin," katanya. - 21 Ogos, 2013.TMI
0 orang berkata:
Post a Comment