• Sedih kenang nasib rakan Nadhirah berhubung dengan rakan-rakan di Mesir menerusi SMS.
1 / 1
MELAKA - "Tipu kalau saya kata, saya tidak sedih," kata Nadhirah Zulkifli, 20, penuntut Universiti Al-Azhar di Kaherah yang kini berada di tanahair sejak 19 Jun lalu.

Menurut Nadhirah, dia sering terkenang apa nasib rakan-rakannya yang masih berada di sana, walaupun yakin mereka selamat.

"Saya sering hubungi rakan-rakan di sana untuk mengetahui perkembangan di sana. Namun, tidak semua masyarakat Arab di sana jahat, ada yang baik sanggup berjaga malam untuk memastikan keselamatan pelajar Malaysia yang tinggal di rumah-rumah negeri.

“Malah, menurut rakan saya, jiran berhampiran akan menjaga dan melarang tentera mengganggu pelajar Malaysia dengan mengingatkan tentera yang kami datang ke Mesir dengan niat baik untuk belajar,” katanya.

Menurut pelajar tahun satu jurusan Syariah ini, walaupun sudah membeli tiket penerbangan balik ke Mesir pada 17 September depan, namun atas nasihat ibu dan ayah serta saudara mara, dia menangguhkan sehingga keadaan di sana reda.

Ini kerana, katanya, dia mendapat maklumat dari rakan-rakan di sana bahawa keadaan Markaz Lughah atau pusat bahasa yang sering dikunjungi mereka di dalam universiti iaitu jalan ke jalan Raba’ah, kini menjadi lokasi tumpuan himpunan penyokong Mursi.

“Saya balik ke Malaysia ketika di sana masih aman. Keadaan sekarang benar-benar mengejutkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Tiang Dua Utama, Ayer Molek, semalam.