• Pas nafi kenyataan palsu tersebar hari ini Kenyataan Presiden Pas yang disebarkan hari ini.
1 / 1
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan mengeluarkan dua kenyataan berkaitan larangan atau gesaan dari pihak Pas ke atas ahlinya untuk menyertai perhimpunan Solidariti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di hadapan Kompleks Beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, esok.

Menurut Abdul Hadi, beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan perhimpunan yang akan berlangsung esok kerana beliau kini sedang sibuk mengerjakan ibadah di Mekah.

“Sukacita dimaklumkan Tuan Guru kini sedang berada di Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan Ibadah Umrah.

“Dengan ini dimaklumkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan pada 6 Mac (hari ini) adalah palsu,” katanya seperti yang dipetik menerusi posting di akaun Facebooknya.

Dua kenyataan media yang didakwa dikeluarkan oleh Abdul Hadi mengenai himpunan esok menjadi viral hari ini.

Satu kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Abdul Hadi memaparkan larangan keras terhadap ahli-ahli Pas daripada menyertai himpunan tersebut.

Manakala satu lagi kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh beliau memaparkan sokongan beliau ke atas ahli-ahli Pas dalam menyertai himpunan itu.

Kenyataan-kenyataan tersebut memaparkan tandatangan serta pengakuan Abdul Hadi sebagai penulis dan turut dikeluarkan sebagai surat rasmi parti.