• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
SHAH ALAM - Kejadian serangan ke atas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad tidak dilakukan oleh ahli parti sendiri, kata Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, walaupun wujud perbezaan pendapat dalam Pas, namun tindakan menyerang ahli sendiri tidak akan berlaku dalam Pas.

“Dalam dunia politik, serangan terhadap ahli politik bukan perkara baharu dan ia sering berlaku.

“Tetapi sebagai sebuah parti Islam, kita (Pas) menerapkan nilai kasih sayang sesama umat dan sebarang bentuk keganasan ditolak sama sekali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas kejadian menimpa Dzulkefly, Tuan Ibrahim berkata, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa supaya kejadian berkenaan tidak berulang.

Ditanya adakah kejadian yang berlaku bertujuan untuk memecahbelahkan Pas yang dilihat sedang mengalami konflik dalam, Tuan Ibrahim menjawab ada kemungkinan perbuatan itu sengaja dilakukan untuk melaga-lagakan pemimpin Pas.

Sementara itu, Dzulkefly ketika dihubungi menyatakan keadaannya bertambah baik berbanding semalam (kelmarin).

“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik dan laporan polis telah dibuat semalam (kelmarin), jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.