• Presiden tak perlu dicabar Ahmad (tengah) menerima RM50,000 daripada Pengurus Cawangan Mydin Kelantan, Mr Naidu sebagai sumbangan untuk mangsa banjir Kelantan, semalam.
1 / 1
KOTA BHARU – Kedudukan Presiden Pas tidak perlu dicabar kerana pemilihan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyandang jawatan berkenaan direstui semua pihak dalam parti itu.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yakob berkata, isu cabar mencabar tidak sepatutnya timbul dalam pemilihan Muktamar, Jun nanti kerana sebelum ini semua bersetuju dengan Abdul Hadi.

“Saya rasa setakat ini, tidak perlu ada cabaran, malah sejak sebelum ini pun, jawatan (pemilihan Abdul Hadi) direstui semua,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan beberapa penganalisis politik yang meramalkan jawatan Presiden Pas akan dicabar melalui Muktamar tahunan Pas tahun ini termasuklah satu rakaman suara yang tersebar kononnya milik Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang didakwa mahu menggulingkan Abdul Hadi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut diminta mengulas mengenai kejadian pukul yang menimpa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, yang dikatakan bermotif untuk memecahbelahkan ahli parti.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, ia merupakan satu amalan atau budaya yang tidak sihat, malah mengutuk sekerasnya tindakan tersebut berlaku dalam kepimpinan Pas.

“Kalau ada sesuatu yang tidak menyenangkan, kita boleh datang dan jumpa (Dr Dzulkefly) sendiri. Dia bekas wakil rakyat di Parlimen, jadi mungkin dia ada pandangan sendiri, itu (pukul) budaya tidak sihat,” katanya.

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas pernah menyuarakan kebimbangan sama ada ulama dan profesional di dalam parti Islam itu masih boleh bekerja bersama dan melahirkan rasa “sudah hilang hormat” terhadap golongan ulama.

Selain itu, kejadian kereta Pengarah Pilihan raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli dibakar di pekarangan rumahnya di Hulu Kelang selepas beliau didakwa menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan Abdul Hadi.

Mengulas isu tersebut, Ahmad berkata, masalah dalaman yang dialami tidaklah sampai perlu terjadinya kejadian sebagaimana yang telah berlaku kepada Dr Dzulkefly dan Dr Hatta, malah kejadian tidak diingini itu juga tidak mencerminkan keakraban kepimpinan Pas yang sebenar.