• Wan Azhar Wan Ahmad Wan Azhar Wan Ahmad
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pas yakin parti itu dilindungi ALLAH SWT kerana keikhlasan dalam memartabatkan Islam di negara ini.

Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, walaupun timbul isu yang memperlihatkan seolah-olah ahli Pas sendiri tidak ikhlas dengan parti itu sehingga timbul isu mengenai usaha menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan ulama, beliau yakin mereka yang tidak jujur itu akan meninggalkan Pas.

Beliau berkata, pernah ada sejarah mereka yang tidak istiqamah dengan parti itu mengambil keputusan meninggalkan Pas dan ada juga yang dipecat keahlian.

“Masing-masing apabila isi borang ahli Pas, dia berbai’ah secara umumnya iaitu Pas ada dasar, matlamat dan kepimpinan. Kepimpinan dalam Pas adalah bersama dengan parti yang lain.. dalam Pas kita ada akhlak walak (patuh) dan tsiqah (keyakinan),” katanya, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada golongan barua dalam Pas']

Beliau berkata, isu bai’ah menjadi disiplin yang kuat dalam parti Islam dan yakin ALLAH akan pelihara parti itu daripada mereka yang tidak jujur.

Katanya sebagai mengulas dakwaan Pemuda Pas Kuantan berhubung komplot terancang melibatkan beberapa pemimpin kanan Pas untuk menjatuhkan Abdul Hadi serta beberapa ulama dalam parti itu.

Ketuanya, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot itu dipercayai menguasai lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sehingga berupaya mensabotaj keputusan parti dan menjadikan Abdul Hadi seperti boneka.

Sementara itu, mengulas rakaman audio yang didakwa mengandungi ucapan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bagi menjatuhkan kepimpinan presiden parti yang tersebar di laman sosial baru-baru ini, Wan Azhar menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan.

AKAN MENYUSUL.