‘Kor Ming pamer sikap ekstremis’
IPOH - Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memuat naik ucapan
hari raya kontroversi beberapa hari lalu, disifatkan sebagai mainan
politik yang berbahaya.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, perbuatan itu
melambangkan sikap ekstremis, malah dianggap sebagai dalang kepada api
perkauman.
Menurut beliau, sekiranya sikap itu diteruskan, Kor Ming tidak layak
menjadi pemimpin kerana tidak menunjukkan sikap profesionalisme.
“Ucapan sinis berserta grafik yang digunakan di laman Facebook beliau menyebabkan kemarahan masyarakat Melayu.
“Tindakan itu dalam konteks sosial boleh dianggap sebagai hasutan,”
katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Ketua Pemuda Umno
Malaysia di Jabatan Belia dan Sukan negeri Perak, semalam.
Khairul Azwan menyokong tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung isu tersebut.
Tegasnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan wajar walau apa pun motif Ahli Parlimen Taping itu.
“Pemuda Umno mengecam perbuatan Kor Ming, malah jika tidak ditangani
segera mungkin perkara tersebut akan menjadi ikutan individu tidak
bertanggungjawab.
“Negara kini berhadapan dengan pengaruh IS, pada masa sama ada pemimpin
politik memainkan sentimen mampu menggugat ketenteraman dan keselamatan
negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pemuda Umno dan BN berbesar
hati untuk menerima dan membantu belia yang terpengaruh dengan fahaman
IS kembali ke pangkal jalan.
Jelas beliau, pihaknya menyokong usaha yang dilakukan Kementerian Belia
dan Sukan untuk mendekati dan menerima golongan tersebut kerana tidak
mahu mana-mana belia ditinggalkan.
“Kita akan dengar apa yang berada di dalam pemikiran dan hati mereka.
Kita cuba tangani pemikiran sesat itu supaya mereka dapat kembali
kepada pemikiran progresif dan bertimbang rasa,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment