• Shahidan Kassim
1 / 1
KUALA LUMPUR  - Keputusan sama ada Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, bergantung kepada speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim menjelaskan pada persidangan kali ini banyak rang undang undang yang perlu didahulukan.
 
"Bergantung kepada (keputusan) Speaker sama ada rang undang-undang persendirian ini akan dipertimbangkan untuk dibahaskan atau tidak.
 
"Apa yang paling penting ialah kami mempunyai banyak rang undang-undang kerajaan yang lain yang kami kena dahulukan seperti isu dadah dan jenayah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
 
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata proses notis usul rang undang-undang persendirian mengambil masa 14 hari selepas tarikh diterima sebelum Speaker membuat keputusan untuk menerima atau menolak usul tersebut.
 
"Notis usul persendirian adalah 14 hari dari tarikh diterima termasuk Sabtu dan Ahad, kecuali usul penting seperti usul kerajaan mungkin lebih cepat iaitu dua atau tiga hari.
 
"Ia juga tertakluk pada keadaan di mana perlu mengambil kira usul yang diterima oleh dewan, jika ada banyak usul kerajaan ia harus didahulukan," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan notis usul tersebut telah diserahkan kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu.
 
"Sekarang kami tunggu Speaker sahaja. Sama ada Speaker benarkan ataupun tidak (bentangkan usul)," katanya.
 
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata parti itu bersedia menerima sebarang penolakan atau bantahan terhadap rang undang-undang hudud termasuk daripada sekutunya DAP.
 
Khamis lepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak selepas 44 anggota dewan sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu. - Bernama