• Mohamed Azmin Ali Mohamed Azmin Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Penubuhan kabinet bayangan Pakatan Pembangkang hanya akan diputuskan selepas mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan itu dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu akan dibincangkan para pemimpin tertinggi DAP, PAS dan PKR.

"Perkara ini akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat (pakatan pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Agenda Makmur Selangor dan Darul Ehsan Investment Group di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menolak cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menubuhkan kabinet bayangan pembangkang.

Lim dilapor sebagai berkata, kabinet bayangan pembangkang adalah tidak praktikal, justeru DAP memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi ahli Parlimen parti itu.

Pada Isnin, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR mengumumkan cadangan mewujudkan semula kabinet bayangan pembangkang bertujuan memperkukuh sistem 'check and balance' (periksa dan imbang) dalam pentadbiran negara. - Bernama