• Siti Zailah Mohd Yusoff Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff ketika memberikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Pusat Kali Ke-55 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
1 / 1
SHAH ALAM - "Umat masyarakat seharusnya mendekatkan diri kepada ALLAH dengan membaca kitab suci Quran dan bukannya asyik leka membaca mesej menerusi aplikasi sosial WhatsApp sahaja," demikian ujar Ketua Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Siti Zailah berkata demikian menerusi ucaptamanya di Muktamar Tahunan Muslimat Pas ke 55, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Menurutnya, umat Islam termasuk Pas sendiri sepatutnya menjadikan 10 pesanan pendakwah, Hassan Abdul Rahman Muhammed Albanna sebagai panduan dan rujukan untuk menonjolkan gerakan Islam kontemporari di negara ini.

"Antara pesanan Imam Hassan termasuk menjauhi sifat mengumpat, mengelakkan gurauan dan ketawa yang terlalu banyak, mengelakkan pertengkaran serta mengelakkan menyampaikan sesuatu dalam nada yang nyaring.

"Kita malah diseru untuk segera menunaikan solat subuh berjemaah, bertutur dalam bahasa Arab yang fushah, berkenal-kenalan, tunaikan kewajipan yang ada dan juga perbanyakan membaca al-Quran," katanya.

Siti Zailah dalam pada itu turut memberi penekanan terhadap jalinan ummah yang menurut pendapatnya, telah dipandang ringan dalam perhubungan sesama manusia pada hari ini.

"Adakah kita mampu membela rakyat sekiranya kebersamaan di antara kita tidak ada? (Kita) Saling memfitnah dan mengadu domba‎ dan akhirnya kita disibukkan dengan masalah dalaman. Sedangkan hampir 30 juta rakyat Malaysia ditindas dengan sistem ekonomi yang sedia ada.

"Marilah kita bersama mencontohi Ikhwanul Muslimin. Ukhuwah yang mantap di kalangan ahli Ikhwanul Muslimin adalah hasil penekanan terhadap empat perkara iaitu iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwah (persaudaraan). Fitnah memfitnah hanya mendatangkan keburukan sesama manusia," katanya lagi.

Siti Zailah yang merupakan ahli Parlimen Rantau Panjang juga menyandang jawatan sebagai Ketua Muslimat Pas Kelantan.

Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Muslimat Pas Pusat sejak tahun 2011; menggantikan penyandang sebelumnya, Nuridah Mohd Salleh.