• Telefon Suhaizan digodam ketika beri ucapan
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat mendakwa nombor telefonnya digodam dan menyebarkan kononnya beliau mengutuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya sedang menyampaikan ucap utama Muktamar Pemuda Pusat. Tiba-tiba  ada pihak yang SMS kononnya guna nombor telefon  saya mengutuk Tok Guru Abdul Hadi Awang,” tulisnya di laman Facebooknya , hari ini.

Beliau turut mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan namanya bagi menjatuhkannya.

Mengulas lanjut Suhaizan berkata, beliau terkejut apabila ada seseorang yang membalas SMS tersebut kepadanya dan memanggilnya dengan perkataan kesat.

Terkejut dengan SMS tersebut, Suhaizan membalasnya dan bertanyakan sebab pengirim itu berkata sedemikian.

Namun pertanyaan itu dibalas dengan maki hamun setelah pengirim itu mendakwa Suhaizan mencela Abdul Hadi terlebih dahulu.

"Tu kenapa kau nak *** orang. Kalau Hadi itu ***, samalah kau pun ***," tulis individu itu.

Sementara itu, melalui status yang dikemaskini di laman sosial Facebook, Suhaizan mengesahkan bahawa telefonnya digodam.

“Asalamualaikum . Telefon  saya kena godam. Jika dapat SMS yg mencurigakan dari Nombor saya sila abaikan. Ada pihak yang mahu memalukan saya. Harap maklum,” tulisnya.