• Ahmad Awang Bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang
1 / 1


SHAH ALAM - Calon Presiden Pas, Ahmad Awang menyifatkan penyingkiran kem tertentu dalam parti itu tidak akan menyelesaikan pertembungan antara golongan yang tidak sealiran.
 

Menurut beliau, ini berikutan situasi ‘menyerang’ antara satu sama lain seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam Pas.
 

“Persoalan yang harus kita jawab dengan jujur, sampai bilakah keadaan kita terus-terusan begini? Ada yang berpendapat, jika disingkirkan mana-mana ‘puak’ atau ‘kem’ dalam muktamar pemilihan nanti, maka tamatlah segala pertembungan.
 

“Benarkah begitu? Setelah selesai disingkirkan mana-mana ‘kem’, peluru yang telah terbiasa dan ‘sedap’ dihala sebelumnya kepada sahabat seperjuangan, ada jaminankah tidak akan dihambur kepada sahabat satu ‘kem’ yang tidak sealiran?,” katanya dalam kenyataan, semalam.
 

Menurut beliau, keadaan ahli Pas ketika ini juga amat jauh berbeza dibandingkan ahli terdahulu yang bersusah-payah memartabatkan obor Islam yang menyeluruh sifatnya.
 

“Sekelumit pun pasti kita tidak pernah menyangka bahawa jutaan jiwa yang ditarbiyah ini akhirnya berantakan dengan hamburan kotor yang selayaknya tidak ditujukan sesama kita. UG (kerajaan perpaduan), Anwarinas, pilihan DAP, liberal, Syiah, jebon, anti ulama, serta pelbagai lagi istilah jijik kini menjadi basahan mulut yang meluncur mudah.
 

“Seakan-akan ‘wirid’ yang diratib dengan perasaan benci sesama saudara yang pernah berjanji setia untuk hidup dan mati dalam perjuangan,” katanya.
 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar ahli Pas mengadakan pertemuan dan berbincang jika mempunyai masalah sesama sendiri.
 

“Bercakaplah dari lubuk hati paling dalam. Luahkanlah apa sahaja yang ingin diluahkan.
 

“Berdepan, jujur dan berterus-terang itu ibarat embun pagi yang dingin dan mendamaikan. Insya-ALLAH, Whatsapp dan Facebook hanya menjadi medan maklumat luar, bukan penentu baik buruk hubungan kekeluargaan jemaah besar ini,” katanya.
 

Dalam pada itu, Ahmad juga memberi jaminan akan memastikan ahli Pas kembali bersatu jika dipilih sebagai presiden dalam muktamar parti, 5 Jun ini.
 

“Akhirnya, saya ingin sebut bahawa saya bukanlah yang terbaik untuk memimpin jemaah ini. Namun jika diberi kepercayaan oleh seluruh anggota, akan saya serahkan jiwa dan raga saya untuk melihat Pas kembali bersatu dan kukuh.
 

“Lebih jauh, saya mahu melihat Pas menjadi entiti siasah yang mampu menerbitkan kepercayaan rakyat untuk diberikan amanah ke Putrajaya,” katanya.