Mat Sabu: BN sedang gigit jari
SHAH ALAM - Sokongan yang diberikan masyarakat bandar dan pinggir
bandar terhadap Pas ketika ini semakin hebat sehingga menggusarkan parti
lawannya BN.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, jika Pas terus bijak
mendekati rakyat khususnya di kalangan bukan Islam tidak mustahil parti
itu berjaya menakluki Putrajaya.
“Pada PRU13, saya sudah lihatkan sokongan umum kita. BN sedang gigit
jari, selepas orang Islam di bandar dan pinggir bandar dulu jauh dengan
kita sekarang beri sokongan pada kita.
“Kalau program (mendekati rakyat) ini berterusan, BN akan ucap sayonara
pada Putrajaya” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda Pas kali
ke-56, semalam.
Beliau berkata, PRK Parlimen Rompin dan Permatang Pauh boleh dijadikan
ukuran bagaimana perubahan rakyat terhadap kepimpinan negara hari ini.
Katanya, peratus kekalahan BN meningkat sehingga ia dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu menegaskan
pemimpin Pas mencari pendekatan terbaik mendekati bukan Islam
memastikan Pas lebih berjaya dalam PRU14.
Katanya, sikap toleransi bersama bukan Islam perlu diteruskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
“Tindakan kita janganlah sampai menghalau mereka yang bukan Islam
daripada bersama kita. Menghalau mereka bukan daripada segi bahasanya,
tetapi melalui perbuatan dan kenyataan kita.
“Carilah toleransi paling tinggi selagi ia tidak merosakkan akidah,
bertentangan Majlis Syura dan tidak melanggar prinsip perjuangan Islam,”
katanya.
Beliau berkata, sehingga kini Dewan Himpunan Pas telah mencapai hampir 20,000 ahli.
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa Pas akan terus cemerlang selagi bersama PR.
Mohamad turut memberitahu, Pas akan meminda beberapa perlembagaan parti tahun ini.
Katanya, perkara itu menjadi keperluan memandangkan ahli Pas telah bertambah sehingga lebih sejuta keahlian.
0 orang berkata:
Post a Comment