Rundingan meja bulat berlangsung tanpa Pas
SUBANG JAYA - Rundingan meja bulat antara PKR, DAP dan Parti Amanah
Negara (Amanah) dalam rangka membentuk PR baharu berlangsung di sebuah
hotel di sini, hari ini tanpa kehadiran Pas.
Jemputan itu yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan
Ismail pada minggu lalu bertujuan membincangkan perkara-perkara penting
yang perlu dipersetujui bersama dengan mengambil kira pandangan semua
pihak.
Rundingan meja bulat yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi dihadiri pemimpin PKR, DAP, PAN dan beberapa NGO ternama.
Antaranya pimpinan PKR yang hadir ialah presidennya, Wan Azizah;
timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali; setiausaha agung, Rafizi Ramli dan
naib presiden, Nurul Izzah Anwar.
Manakala DAP pula diwakili Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang; setiausaha
organisasi, Anthony Loke; pengarah pendidikan, Liew Chin Tong dan
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Hadir sama pimpinan Amanah, antaranya presiden, Mohamad Sabu; timbalan
presiden, Salahuddin Ayub; setiausaha agung, Anuar Tahir dan Ahli
Jawatankuasa, Dr Hatta Ramli.
Tidak terkecuali yang hadir ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang
juga Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi
Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Presiden Majlis Peguam Malaysia,
Steven Thiru.
Bagaimanapun, tiada seorang pun pimpinan tertinggi Pas yang hadir pada rundingan meja bulat itu.
0 orang berkata:
Post a Comment