PARAH!!! 'Jika Tidak Korup, Kenapa Saya Didapati Bersalah?' : Bekas MB Selangor, Jom Terjah!!!
ULASAN Ketika anda
membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan
tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.
Saya mohon maaf kepada
seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin
terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka
yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.
Saya tahu sebahagian
orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai
penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli
separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan
sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.
Saya
juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin Umno
mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter
menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana.
Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara yang terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.
Saya hanya ingin
menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan, pendakwa raya tidak pernah
mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah.
Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan
kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin (Haryoni, pengarah Ditamas
Sdn Bhd).
Tidak pernah ada
sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga
RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan
sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.
Yang ada hanyalah surat
sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong
puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.
Jika tidak korup mengapa
saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah
Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal
dengan hukuman maksimum dua tahun penjara.
Dalam tuduhan ini
pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan
kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli
sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada
seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai
penjawat awam.
Demikianlah kesungguhan
peguam negara terdahulu yang mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti
rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah
Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.
Adilkah, saya dituduh di
bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan
akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya
Allah yang tahu niat sebenar beliau.
Semasa hendak membeli
rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan
penting ketika itu termasuk perdana menteri, setiausaha kerajaan negeri
dan pihak SPRM sendiri.
Untuk rekod, saya juga
membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian
hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih
dari RM2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (Baca: Fakta dan angka tidak boleh menipu).
Jika saya mahu mengambil
rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan
atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.
Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.
Mungkin kerajaan perlu
menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat
rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada
lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus sudah harapan?]
Dilanyak akhbar The Sun
Minggu lalu ketika
merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang
dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang
disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.
The Sun tampil
mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah
sejauh mana layak atau tidak Selangor diisytihar negeri maju. Ini
kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.
Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.
Adakah kerana saya dilihat sebagai
anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara
haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di
Bukit Tagar, Selangor?
Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari
dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar
atau pengarang akhbar tersebut kepada menteri besar selepas saya.
Malah ada ketika mereka mempertahankan menteri besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.
Kes roboh kuil
Saya juga ingin memohon
maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan
kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah
sejak tahun 1998 lagi.
Ia dibina secara haram
atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan
dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak
RM40 ribu dan juga diberi tapak baru.
Keputusan merobohkan
kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu
pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu
hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk
yang enggan berpindah.
Saya, selaku Menteri
Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya
melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.
Jika masih ada yang
berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai
menteri besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu
dan rumah ibadat lain yang berdaftar.
Di bawah pentadbiran saya juga kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.
Isu anugerah penyapu
Sebahagian membenci saya
bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah
Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis
Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah penyapu atau padah sikap kita?]
Sungguhpun ia bukan idea
saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika
itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf
jika masih ada yang berkecil hati.
Baru-baru ini saya ada
berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan Tukiman Nail, bekas
presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu
tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau
sebagai sesama muslim.
Masalah setinggan
Ada yang masih berkecil
hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh
memuaskan hati semua penghuni setinggan.
Apa yang boleh saya
katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan
kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan:
(i) Memberi penempatan yang lebih baik
(ii) Menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan
(iii) Memberi subsidi RM7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.
Akhirul kalam, saya
mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.
Jika ada hayat dikandung badan, insha-Allah saya akan terus menulis
selepas keluar penjara nanti.
Wassalam.
Khir Toyo bekas MB
Selangor. Tulisan ini diterbit dalam blog beliau, drkhir.com. Mahkamah
Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atasnya
selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah ditolak pada
minggu lalu
1 orang berkata:
12 bulan...... . banyak tu.......yang curi sardin kena 2 tahun.......sikit je....
Post a Comment