Pas masih bersama PR, tidak perlu PR 2.0
SHAH ALAM - Pas menegaskan tiada keperluan parti-parti pembangkang
membentuk pakatan yang baharu memandangkan kerjasama politik itu telah
terbentuk sejak sekian lama.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan Pas sangat jelas untuk bersama PR.
"Sekarang ini kita belum ada satu keputusan (terhadap kehadiran ke rundingan meja bulat pembangkang).
"Cuma keputusan kita sangat jelas, kita bersama PR tapi kalau PR sudah ada, tidak perlulah ada lagi PR 2.0 dan sebagainya," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas forum Diskusi 3.0 : Integriti Dan Kenegaraan, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Pas dilaporkan tidak bersedia mengadakan persidangan meja bulat bersama DAP dan Parti Amanah Negara seperti yang dipelawa Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, esok.
Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, selaras dengan pegangan kepimpinan Pas pusat, tegasnya pelawaan itu ditolak dan menyifatkan ia bukan waktu sesuai untuk mereka menjalin kerjasama dengan dua parti tersebut.
Khamis lalu, dalam satu kenyataan, Wan Azizah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan pimpinan parti-parti pembangkang utama.
Melalui kenyataan tersebut, Wan Azizah memaklumkan rundingan meja bulat itu akan diadakan di sebuah hotel di Subang Jaya.
Menurutnya, pihaknya turut menjemput pimpinan NGO seperti Abim, Wadah, Ikram, Bersih dan Negaraku serta tokoh seperti Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno) dan bekas Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Simon Sipaun.
Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, persidangan meja bulat itu bertujuan membincangkan perkara-perkara penting yang perlu dipersetujui bersama ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang selama ini bersama-sama berjuang.
2 orang berkata:
Komen apa ni.tak faham pun.
Komen apa ni.tak faham pun.
Post a Comment