Sunday, September 27, 2015
Selepas Khairuddin ditangkap, Ummi Hafilda pula muncul mendesak Najib..
Bekas ahli Umno, Ummi Hafilda Ali hari ini menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baharu, Kuasa Suara Rakyat (KSR), dalam usaha menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah laknat berhubung dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
Ummi yang juga presiden dan penaung KSR berkata, NGO itu ditubuhkan memandangkan terdapat pemimpin negara yang "pekak badak" dan tidak mengendahkan suara rakyat.
"KSR ditubuhkan berlandaskan senario politik tanah air. Saya orang lama dalam politik walaupun tidak terlibat dalam politik.
"Kuasa rakyat itu harus diketengahkan, sampai kepada telinga pemimpin. Kita tak nak pemimpin pekak badak syok sendiri," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena pelancaran KSR di Kuala Lumpur hari ini.
Ummi berkata, penubuhan KSR juga adalah supaya kesombongan pemimpin-pemimpin kini dapat diturunkan.
"Saya manusia ada prinsip. Kalau sampai tahap mata ditoreh, hati dicucuk, sekarang tidak lagi.
"Hari ini, di bawah Najib saya rasa kehormatan rakyat itu hilang, KSR ini ditubuhkan untuk kita kembalikan suara rakyat, hak rakyat," katanya.
Katanya, KSR yang didaftarkan pada 24 September lalu ditubuhkan dengan penyertaan beberapa NGO lain dan mempunyai keanggotaan sekitar 30,000 ahli.
KSR juga katanya akan menganjurkan program solat hajat mereka di Putrajaya, dijangka menghimpunkan antara 50,000 hingga 100,000 orang, termasuk penyertaan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita akan adakan satu pertembungan ummah yang besar di Putrajaya. Kita akan buat solat hajat. Paling kurang 50,000 ke 10,000 untuk serahkan memorandum kepada Najib dalam perkara-perkara tertentu," katanya.
Beliau turut melahirkan harapan Najib dapat melafazkan sumpah di Masjid Putrajaya berkenaan wang RM2.6 bilion itu.
Ummi bagaimanapun berkata, KSR tidak akan menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.
"Kami tidak minta beliau letak jawatan, tetapi kita akan ada asas kukuh yang membawanya ke arah itu."
Katanya, program pertembungan ummah itu akan dianjurkan sama ada hujung Oktober atau awal November depan.
Ummi berkata, beliau juga akan menyiarkan surat terbuka untuk Najib setebal 5 muka surat bagi mendapatkan penjelasan terhadap beberapa isu yang melanda negara.
Selain gesaan mengangkat sumpah laknat, antara isu yang dibangkitkan beliau dalam surat terbuka itu ialah status siasatan berhubung isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan yang Najib berbohong berhubung dana RM2.6 bilion itu ~ The Malaysian Insider
0 orang berkata:
Post a Comment