Kenyataan pemimpin MCA berat sebelah
KUANTAN - Pemuda Umno Pahang menyifatkan kenyataan pemimpin MCA
terhadap isu Himpunan Rakyat Bersatu dengan Bersih 1 hingga Bersih 4
adalah berat sebelah dan tidak konsisten.
Ketua Pemudanya, Mohd Shahar Abdullah berkata, perkara itu amat mengecewakan kerana pendekatan secara selektif dan terburu-buru yang diambil barisan kepimpinan MCA dalam menyatakan pendirian MCA terhadap penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu dituduh telah menimbulkan ketakutan dan memberi kesan yang negatif kepada hubungan kaum di negara ini.
Menurutnya, pandangan itu seperti menyokong penganjuran Bersih 1 hingga Bersih 4 dan ia menimbulkan persoalan kepada banyak pihak terutama Umno.
“Pemuda Umno Pahang menuntut jawapan daripada MCA adakah secara konsisten tidak menyokong mana-mana perhimpunan haram sebagaimana Bersih 4.
“Kita juga hairan dengan pemimpin MCA yang dilihat seolah-olah amat membenci penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu sedangkan perhimpunan tersebut diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah dibenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berbanding Bersih 4 ialah perhimpunan jalanan dan haram,” katanya.
Mohd Shahar mendakwa, sekiranya pemimpin MCA terus bersikap sedemikian, dia bimbang situasi itu akan menjadi punca kepada keretakan hubungan kaum sehingga menimbulkan prasangka buruk di antara kaum.
“Secara jelasnya, Himpunan Rakyat Bersatu ini adalah sebagai satu manifestasi kebangkitan orang Melayu untuk mempertahankan maruah Melayu dan kepimpinan negara daripada dikutuk dan dihina.
“Tambahan pula, penganjurannya telah diluluskan pihak berkuasa. Maka, tidak perlulah MCA cuba menjadi ‘Hero’ kepada DAP dengan cuba menimbulkan sentimen perkauman dengan penganjuran tersebut,” katanya.
Tambahnya, tindakan sedemikian sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak berpuas hati orang Melayu yang seterusnya menjejaskan keharmonian antara kaum.
0 orang berkata:
Post a Comment