Pakatan Harapan alu-alukan penyertaan parti lain
SUBANG JAYA - Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah
Negara (Amanah) mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti politik untuk
turut serta berjuang dalam perikatan baharu itu.
Bagaimanapun kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
kesemua parti yang bernaung di bawah satu bumbung perlu mempunyai
matlamat dan haluan yang sama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)
akan datang.
"Kami mengalu-alukan mana-mana parti untuk menyertai kami (Pakatan
Harapan) termasuk Pas. Meskipun parti tersebut dari BN, kami akan terima
tapi mestilah mempunyai matlamat sama dan mampu bersama sebagai satu
rumpun," katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di sini,
hari ini.
Pakatan Harapan hari ini ditubuhkan selepas rundingan meja bulat antara
DAP, PKR dan Amanah sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan
pembangkang baharu di sebuah hotel di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pakatan Harapan jadi blok baharu pembangkang]
Wan Azizah turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas yang
dianggotai Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti yang berada
dalam Pakatan Harapan.
Menurut Wan Azizah lagi, ia bertujuan memperhalus terma penubuhan Pakatan Harapan.
"Antara yang akan diperhalusi termasuk perjanjian, dasar bersama, etika
kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.
"Mulai hari ini, pakatan ini akan berfungsi sebagai satu pakatan yang
jitu dalam usaha membela rakyat dan kami juga akan bersiap sedia untuk
berdepan dengan kerajaan," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment