JMM mahu polis siasat Zeti
KUALA LUMPUR - Jaringan Melayu Malaysia (JMM)
meminta polis membuka kertas siasatan terhadap Tan
Sri Zeti Akhtar Aziz yang didakwa berniat jahat terhadap
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd Salleh berkata,
Gabenor Bank Negara itu perlu bertanggungjawab terhadap
tindakannya yang membatalkan tiga kebenaran yang
dibenarkan oleh Bank Negara, terhadap 1MDB.
Tindakan Bank Negara itu kata Hamdan, berniat
merendahkan Peguam Negara.
“Polis perlu segera membuka kertas siasatan terhadap
Zeti. Dia perlu disiasat.
“Saya harap polis segera memulakan siasatan
terhadapnya dalam tempoh tujuh hari,” katanya
kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis
Daerah Dang Wangi, selepas membuat laporan, semalam.
Hamdan berkata, Bank Negara membatalkan kebenaran
ini di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA)
, sedangkan Peguam Negara membuat keputusan tiada
kesalahan jenayah dilakukan di bawah ECA.
“Ia seolah-olah menutup kesalahan Bank Negara
ketika meluluskan permohonan 1MDB untuk pelaburan
di luar negara.
“Mengapa keputusan pembatalan ini dibuat setelah
empat hingga enam tahun diberikan kebenaran serta
sejurus sebelum siasatan dirujuk kepada peguam
negara?” soalnya.
Katanya, Bank Negara membuat keputusan pembatalan
atas alasan salah, iaitu maklumat diberikan sama ada
tidak tepat atau tidak lengkap, sedangkan kesalahan
di bawah ECA adalah berkaitan pengemukaan keterangan
palsu dan bukan berkaitan tidak tepat atau lengkap.
0 orang berkata:
Post a Comment