Anwar gagal saman terhadap Anifah Aman
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi gagal dalam
tuntutan saman terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berhubung
kenyataan menteri itu dalam satu sidang akhbar di Washington lima tahun
lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menolak saman itu selepas mendapati Anwar selaku plaintif gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan.
"Selepas merujuk kesemua keterangan dan menggunakan imbangan kebarangkalian, plaintif gagal membuktikan tuntutan.
"Mahkamah menolak tuntutan saman plaintif,"katanya Mahkamah turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Anwar manakala Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah.
Dalam saman yang difailkan 27 Mei 2009, Anwar mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington, ketika Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hadir telah mencemar imej beliau.
Anwar mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.
Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak, menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.
0 orang berkata:
Post a Comment