Muhyiddin jawab ‘tak tahu’ isu tujuh pemimpin Umno
KUALA LUMPUR - Ketika angin terus bertiup kencang berhubung tujuh
pemimpin Umno yang akan dikenakan tindakan disiplin, Timbalan Presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mendedahkan sebarang maklumat sama
ada beliau disiasat parti itu.
"Saya tidak tahu apa-apa. Saya hanya baca mengenainya di media," beliau dipetik sebagai berkata ketika ditemui di Parlimen, hari ini.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung tujuh individu yang didakwa sedang disiasat oleh parti tersebut sepertimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan: Kita sudah letih!]
Tengku Adnan sebelum ini berkata, tujuh pemimpin Umno sedang dalam pemerhatian Lembaga Disiplin parti untuk dikenakan tindakan, termasuk digantung keahlian berikutan kelantangan mereka mengeluarkan kenyataan buruk terhadap parti itu.
Tengku Adnan berkata, Umno sudah tidak tahan dengan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal dikeluarkan segelintir ahlinya itu.
“Kita letih dengan ahli yang keluarkan kenyataan bukan untuk orang ramai. Kita siasat dan tengok hasil siasatan. Ada tujuh orang, (tapi) saya tak nak namakan mereka.
“Mereka tahu siapa diri mereka. Parti kita ada set Perlembagaan sendiri, jawatankuasa disiplin. Kita ada kod etika, kita tidak mampu nak berhadapan kegilaan ini lagi,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment