Kali ini keempat-empat mereka bakal berhadapan dengan pertuduhan berkaitan kesalahan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, SPRM telah mendakwa lima pegawai TLDM di bawah Akta SPRM 2009 dan seorang daripada mereka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sinar Harian Online difahamkan pertuduhan mereka dipercayai mencecah nilai rasuah RM2 juta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat pegawai kanan TLDM mengaku tidak salah]

Sumber memberitahu bahawa kesemua mereka ditangkap semalam bagi tujuan pertuduhan. Mereka ditangkap antara 11 dan 12 tengah hari.

"Keempat-empat akan dibawa ke mahkamah esok (hari ini)," kata sumber kepada Sinar Harian Online.

Keempat-empat mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.

Dalam tempoh sebulan yang lalu, SPRM telah mendakwa lima termasuk pasangan suami isteri yang berkhidmat sebagai pegawai TLDM berhubung kesalahan menerima rasuah berhubung urusan pembekalan barangan ke TLDM.

Mereka telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Ipoh.

Mereka merupakan sebahagian daripada enam pegawai dan anggota TLDM, selain lima orang awam yang disiasat oleh SPRM sejak Mac lalu.

SPRM melancarkan siasatan dan menahan kesemua suspek yang dipercayai saling mengenali itu selepas menerima aduan berhubung gaya hidup mewah mereka.

Difahamkan mereka menerima rasuah sebagai dorongan meluluskan projek membekalkan barangan kepada TLDM.