'22 tahun kita pertahan dia, sekarang mana maruahnya?'
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan
kepimpinan dan ahli Umno supaya tidak mengkhianati perjuangan parti
demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.
Najib yang juga Presiden Umno berkata, perjuangan politik yang
berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi
pelbagai cabaran dan isu dalam negara.
"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa
pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan
huru-hara.
"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur
lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita,"
katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota
Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari
ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM, Datuk Melati Ali.
Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.
"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti,
dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita
jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi
pemimpin) kita wajib sokong parti.
"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris Umno
lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.
"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis,
anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang. Kita
pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha
firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka
kata.
"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah
diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah,"
kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi
terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya
umum.
Najib berkata, rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan
kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam
merencanakan pembangunan negara.
"(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak
lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah,
fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus
berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan Umno," katanya.
Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat.
"Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan
negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti
hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti,
kasihkan negara," katanya.
Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca
ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.
- Bernama
1 orang berkata:
Dia tuh lg memalukan baru beberapa tahun dah tebar tahi merata dunia.malulah nak menjerit pd org.kesimpulan org politik mmg suka main taik selain politik yg berteras islam spt pas.najib tu berani bercakap depan org tua tua je ke.mana geng kj dah lari enjoy dpt juta juta.apa punya org umno.
Post a Comment