Pegawai disyaki seleweng dana dipindahkan daripada KBS
KUALA LUMPUR - Pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang disyaki
terlibat mendalangi sindiket menyeleweng dana kerajaan telah dipindahkan
daripada kementerian, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan
Awam untuk menggantung tugas pegawai tersebut berdasarkan peraturan 43
Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataterib) 1993.
"Tindakan ini diambil setelah saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha
Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) semalam bahawa pihak kementerian boleh
memohon untuk memindahkan pegawai ke tempat lain walaupun siasatan masih
berjalan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai kanan kerajaan ditahan seleweng RM100j]
"Setakat hari ini beliau masih belum digantung tugas kerana jawapan
berhubung permohonan berkenaan belum lagi diperolehi," kata Khairy yang
juga Ketua Pemuda Umno kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas menahan
seorang setiausaha bahagian kementerian itu selepas disyaki terlibat
mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Khairy turut memberi jaminan akan memastikan siasatan dilakukan secara
menyeluruh supaya pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.
"Kita akan mengambil tindakan proaktif bagi membetulkan keadaan supaya
perkara yang terjadi pada hari ini tidak akan berulang lagi di masa
hadapan.
"Pihak kementerian juga akan mengambil inisiatif untuk mengkaji dan
memperbaiki segala kelemahan yang terdapat di dalam aspek pengurusan
terutamanya prosedur membabitkan bahagian kewangan dan perolehan,"
katanya.
Beliau berkata keputusan siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan satu
pasukan siasatan bebas dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan
hadapan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment