Saman Najib: Tun M mahu isu 1MDB dibahas
SHAH ALAM - Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memastikan isu
tersebut terus dibahaskan.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada
Mohamed.berkata, langkah berkenaan merupakan usaha berterusan yang
dilakukan Mahathir memandangkan beliau masih tidak berpuas hati dengan
keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Sebelum ini Mohamed Apandi mengumumkan Najib tidak melakukan sebarang
kesalahan jenayah dan berpuas hati terhadap siasatan serta saksi yang
dikemukakan.
“Saya lihat apa yang Mahathir buat ini adalah untuk pastikan masyarakat
masih bercakap mengenai isu ini dan tindakan untuk memfailkan saman
tersebut adalah bagi memastikan isu ini terus dibahaskan,” katanya
ketika dihubungi Sinar Online.
Ketika ditanya adakah usaha Mahathir tersebut akan berhasil, Marthada
menambah, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas
memandangkan kes tersebut telah ditutup selepas Mohamed Apandi membuat
pengumuman mengenai isu tersebut (1MDB).
Marthada berkata, apa yang dijelaskan oleh peguam negara sebelum ini
adalah berdasarkan sistem perlembagaan dan undang-undang di negara ini.
“Apa yang dibangkitkan Mahathir ini adalah lebih kepada cetusan
ketidakpuasan hatinya selama ini dan saya rasa usahanya tidak akan
berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz
berkata, sesiapa sahaja rakyat di negara ini boleh mengambil tindakan
untuk memfailkan saman memandangkan ia merupakan hak individu.
Namun begitu, Shamrahayu memaklumkan bahawa segala keputusan yang
dibuat merupakan hak mahkamah melalui penelitian terperinci terhadap
permohonan tersebut.
“Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem kehakiman dan dari
segi akademik, undang-undang tak halang mana-mana pihak untuk buat
tindakan mahkamah.
“Mahkamah ada hak untuk meneliti segala permohonan itu dan menentukan
sama ada individu terbabit mempunyai locus standi (hak pendakwaan) atau
tidak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed,
berkata Mahathir tidak memiliki locus standi atau hak perundangan untuk
memfailkan saman terhadap Najib berikutan kes itu tidak mempunyai kaitan
secara langsung kepadanya, sama ada sebagai bekas Perdana Menteri atau
rakyat biasa.
0 orang berkata:
Post a Comment